Wednesday, September 8, 2010

PENCETAK (PRINTER), PEMPLOT (PLOTTER) DAN PENGIMBAS (SCANNER)

PENERANGAN :

 PENCETAK (PRINTER)

Pencetak merupakan peranti keluaran yang membolehkan pengguna mendapatkan salinan dalam bentuk fizikal dari hasil pemprosesan komputer dan input pengguna. Selain ini boleh jadi dalam bentuk kertas bercetak, transparensi dan sebagainya. Setiap hasil cetakan ini juga sering dipanggil salinan keras  (hard copy).
pencetak boleh dikategorikan berdasarkan kaedah yang digunakan olehnya bagi mencetak dan juga jenis hasil yang boleh dikeluarkan. Harganya juga berlainan dari satu jenis ke satu jenis. Antara jenis pencetak yang popular ialah pencetak matrik bintik (dot matrix), semburan dakwat  (ink-jet), semburan gelembung (bubble-jet) dan laser.Pe


Pencetak Matrik Bintik (Dot-Matrix Printer)

Pencetak matrik bintik (dot matrix printer) amat popular sekitar tahun 1990-an walaupun ianya mengeluarkan bunyi yang agak bising semasa operasi mencetak. Ini adalah kerana pada waktu tersebut, pengguna tidak mempunyai banyak pilihan sepertimana sekarang. Pencetak matrik bintik ini biasanya menggunakan kertas komputer khas yang berlubang-lubang di bahagian tepi kiri dan kanannya. Pencetak ini juga boleh menggunakan kertas taip yang biasa.
Pencetak matrik bintik membentuk aksara berdasarkan konsep tekanan atau hentaman di antara riben yang mempunyai karbon dengan pin huruf terhadap kertas cetakan. Biasanya pencetak jenis ini akan menghasilkan sesuatu hasil cetakan berdasarkan kombinasi titik-titik halus pada teks atau grafik yang dicetak.
Terdapat dua jenis pencetak matrik bintik yang popular iaitu sama ada pencetak 9 pin atau pencetak 24 pin. Pencetak 9 oin menghasilkan kualiti cetakan dalam bentuk draf (kurang jelas) manakala pencetak 24 pin pula mampu menghasilkan cetakan yang lebih bermutu tinggi. Ini adalah kerana dengan pencetak 24 pin, titik-titik halus yang terbentuk adalah lebih rapat jaraknya daripada yang dicetak oleh pencetak jenis 9 pin. Dalam erti kata lain kualiti cetakan adalah bergantung kepada jumlah pin pada kepala pencetak (print head) yang digunakan.


Pencetak Semburan Dakwat / Gelembung Dakwat (Ink-jet /Bubble-jet)

Pencetak semburan dakwat atau gelembung dakwat merupakan teknologi baru yang menyebabkan pencetak matrik bintik semakin diketepikan. pencetak jinis ini semakin digemari ramai berbanding dengan pencetak matrik bintik memandangkan ianya lebih pantas senyap dan mampu memberi hasil cetakan yang lebih baik berbanding pencetak matrik bintik

Pencetak jenis ini juga mampu menghasilkan cetakan berkualiti tinggi dengan kadar yang lebih murah dan menyebabkan ianya amat sesuai untuk kegunaan peribadi. Ianya juga agak popular memandangkan ianya mampu memberikan hasil cetakan yang kelihatan lebih kemas dan professional berbanding pencetak matrik bintik.
Pencetak teknologi ini bekerja berdasarkan konsep semburan atau pancutan dakwat melalui lubang halus ke atas helaian kertas. Kepala pencetak biasanya bersambung kepada bekas dakwat yang digunakan. Kertas yang baru dicetak harus dipastikan kering dakwatnya terlebih dahulu sebelum boleh disentuh. Ini menyebabkan pencetak jenis ini sesuai digunakan bagi kegunaan individu tetapi kurang sesuai digunakan bagi tujuan mencetak dokumen-dokumen penting kerana ianya agak sensitif terhadap air atau kelembapan.
Pencetak jenis ini boleh mencetak sama ada dalam keadaan hitam putih mahupun warna. Pencetak semburan / gelembung dakwat ini juga mampu menghasilkan hasil cetakan dengan kelajuan di antara 1 hingga 10 halaman bagi setiap minit (ppm). Kualiti imej yang mampu dihasilkan pula dalam lingkungan 180 hingga 720 dots per inch (dpi) atau lebih tinggi bergantung kepada arus perkembangan teknologi semasa. Misalnya, pencetak jenis semburan dakwat atau gelembung dakwat yang  dikeluarkan pada Januari 2001 telah mampu mencetak dengan resolusi setinggi 2400 X 1200 dpi dan kelajuan 10 hingga 15 halaman seminit.

Pencetak Laser

Pencetak laser menggunakan teknologi yang sama sepertimana mesin fotokopi dan ianya mencetak dengan menggunakan pancaran laser. Mutu cetakannya adalah berkualiti tinggi dan ini menyebabkan ianya menjadi pilihan utama untuk kegunaan di pejabat-pejabat, organisasi, institusi pengajian tinggi dan sebagainya yang mementingkan rupa dan kualiti dokumen yang kemas, menarik, tahan lama dan berkualiti tinggi.

Pencetak laser bekerja dalam keadaan yang senyap tetapi pantas. Pencetak laser yang paling rendah keupayaannya mampu mencetak sehingga 4 halaman yang dipenuhi teks dalam masa satu minit. Pencetak laser yang lebih berkeupayaan tinggi mampu mencetak sehingga lebih daripada 25 halaman dalam masa seminit. Hasil cetakannya juga amat memuaskan dengan kualiti imej dari 300 hingga 1800 dots per inch (dpi). Namun demikian, masalah utama pencetak jenis laser ialah harganya yang lebih mahal dari pencetak jenis lain.


Lain-lain Jenis Pencetak

Selain dari pencetak-pencetak utama yang telah dibincangkan, terdapat juga pencetak lain yang tidak kurang popularnya dikalangan pengguna walaupun hanya digunakan dalam keadaan-keadaan khas atau tertentu. Antaranya:

Dye Sublimation Printer
  • Merupakan antara pencetak yang memerlukan kos yang tinggi.
  • Menghasilkan kualiti gambar yang menyamai kualiti gambar foto berwarna.
  • Juga dikenali sebagai thermal dye transfer printer.

Solid Ink Printer


  • Pencetak jenis ini menghasilkan imej warna berkualiti tinggi dengan kadar harga yang lebih rendah.
  • Ianya sesuai digunakan bagi menghasilkan kualiti gambar yang sesuai bagi kertas biasa dan juga transparensi.

PEMPLOT (PLOTTER)


Pemplot atau Plotter menukar maklumat numerik kepada bentuk grafik seperti graf, peta, carta dan lukisan. Dalam erti kata lain, pemplot merupakan alat yang mempunyai keupayaan melukis ke atas kertas sama ada dalam bentuk peta, carta, lukisan kejuruteraan dan juga lukisan dua dimensi berdasarkan arahan dari komputer.

Pemplot boleh mencetak dalam pelbagai warna tetapi tidak sepantas keupayaan pencetak. Pemplot banyak digunakan di firma arkitek senibina dan kejuruteraan yang banyak memerlukan hasil lukisan dalam bentuk plan, gambarajah litar, rekabentuk rumah, kereta, jentera dan sebagainya.

Walaupun fungsi asasnya sama seperti pencetak, namun demikian pemplot adalah sedikit berbeza daripada pencetak yang mana ianya menggunakan pen untuk melukis sesuatu garisan. Hasilnya, pemplot mampu menghasilkan garisan yang berterusan tanpa putus. Pencetak pula hanya mampu menghasilkan garisan berdasarkan hentaman atau semburan dakwat yang rapat antara satu sama lain.

Secara amnya, pemplot lebih mahal dari pencetak dan amat ideal digunakan terutamanya dalam bidang kejuruteraan yang mana kejituan lukisan kejenteraan amat dipentingkan.


PENGIMBAS (SCANNER)

Data seperti teks dan grafik boleh juga dimasukkan ke dalam sesebuah sistem komputer melalui penggunaan pengimbas. Kaedah ini lebih pantas berbanding dengan proses menaip atau melukis semula sesuatu bahan yang sedia ada. Peranti Pengimbas juga merujuk kepada alat yang berupaya menterjemahkan imej, teks, aksara atau nombor, lukisan dan gambar foto dalam bentuk tradisional kepada bentuk digital yang difahami oleh komputer.

Pengimbas Imej ( Image Scanner)
Pengimbas Imej digunakan terutamanya dalam menterjemahkan sumber dari helaian kertas sama ada sumber dalam bentuk teks, grafik, gambar foto atau lakaran kepada bentuk digital. Terdapat empat jenis pengimbas imej yang utama dan setiap satu mempunyai ciri-ciri serta keistimewaan yang tersendiri.



       1. Pengimbas Rata (Flatbed )
Pengimbas rata berfungsi hampir sama seperti mesin salinan pendua (Photostat machine) tetapi ia menghasilkan salinan digital untuk kegunaan komputer berbanding salinan kertas tradisional oleh mesin salinan pendua. Pengimbas rata mampu mengimport keseluruhan mukasurat dalam satu masa dan menghasilkan salinan yang jelas sepertimana salinan asal.



2. Pengimbas Tangan (Hand-Held Scanner)
Pengimbas tangan merupakan peranti pengimbas bolehubah yang kecil, murah dan mudah digunakan. Ia amat sesuai digunakan untuk mengimport imej yang kecil seperti tandatangan, logo dan sebagainya. Walau bagaimanapun pengimbas tangan kurang mendapat sambutan memandangkan pengimbas rata mampu melakukan semua tugas yang boleh dilakukan oleh pengimbas tangan dengan kualiti kerja yang jauh lebih baik




        




RUJUKAN :


  1. Baharuddin Aris, Mohammad Bilal Ali, Jamaluddin Harun dan Zaidatun Tasir, 2001, Sistem Komputer dan Aplikasinya, Kuala Lumpur, Venton Publishing , ISBN: 983-2031-32-X.
  2. http://www.printerwarehouse.com
  3. http://www.scannerwarehouse.com

No comments:

Post a Comment